SELAMAT DATANG.....

Jangan lupa!!!!!!

Tinggalkan komen anda di sini.....TQ

Wednesday, 30 November 2011

ISU PENEMPATAN SETINGGAN

1.0  PENGENALAN
Isu penempatan setinggan merupakan isu yang masih rancak diperkatakan sehingga hari ini dan isu ini adalah isu yang memaparkan nilai kehidupan yang bercanggah dari nilai-nilai yang ideal. Penempatan setinggan yang sesak dengan penghuni, keadaan bangunan yang uzur, tidak berstruktur dan tiada kemudahan infrastruktur menunjukkan imej negatif ke atas sebuah identiti negara membangun. Walaupun pengesanan penempatan setinggan ini telah dilakukan sejak dahulu lagi, objektif setinggan sifar masih tidak dapat dicapai. Penempatan ini kebanyakannya berada di kawasan pantai (atas laut), bekas lombong, rizab jalan, rizab sungai, rizab kereta api dan kawasan pinggir bandar yang masih tiada pembangunan. Banyak langkah yang cuba dilakukan oleh pihak kerajaan, namun ada penduduk yang masih berdegil dan tidak menghiraukan segala amaran dan kerana hal ini jugalah yang menyebabkan usaha “setinggan sifar” masih belum tercapai sepenuhnya.
Istilah setinggan mengikut akta darurat merupakan apa-apa rumah, pondok, bangsal, gerai, tempat perteduhan (sengkuap), kurungan beratap atau apa-apa sambungan binaan yang bercantum kepada sesuatu bangunan atau binaan lain yang di buat daripada apa juga bahan sebagai tempat binaan mengikut apa cara melainkan mengikut pelan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan dan di atas mana-mana tanah kerajaan, swasta dan sebagainya (H.Musalman, 2007).
Manakala menurut Kanun Tanah Negara 1965 di bawah seksyen 425(1)(a) menegaskan bahawa penerokaan atau pendudukan atau pembinaan bangunan diatas tanah hak pihak lain (kerajaan, rizab kerajaan, tanah agensi kerajaan, tanah komuniti, tanah persendirian atau lain-lain) secara haram adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Berdasarkan laporan perangkaan Jabatan Perumahan Negara (JPN) Bahagian Pengurusan Setinggan, sehingga 31 Mac 2010, bilangan keluarga setinggan yang masih belum diselesaikan adalah sebanyak 97,260 keluarga. Berbanding dengan 31 Disember 2009, bilangan keluarga setinggan telah menurun sebanyak 1.78% (1,762 keluarga). Sabah merupakan negeri yang mempunyai paling ramai setinggan iaitu 39.03% (379,965 keluarga). Ini diikuti oleh Perak sebanyak 13.48% (13,109 keluarga), manakala Melaka hanya mempunyai 0.03% (32 keluarga) dan merupakan negeri yang mempunyai bilangan keluarga setinggan yang paling rendah.

2.0  DEFINISI
Takrif ’setinggan’ boleh dibahagikan kepada empat, iaitu Takrif Am (Umum), Takrif mengikut Warta Kerajaan 1969, Takrif mengikut Kanun Tanah Negara (KTN), 1965 dan Takrif di sisi Undang-undang (selain Kanun Tanah Negara). Pengertian umum setinggan ditakrifkan sebagai mana-mana orang yang menduduki secara tidak sah mana-mana tanah kerajaan, rizab kerajaan atau tanah lombong, dan membina apa-apa bentuk bangunan adalah telah melakukan kesalahan dibawah seksyen 425 KTN, 1965 (H.Musalman, 2007).

3.0  SETINGGAN DI MALAYSIA
Merujuk kepada tesis yang telah disediakan oleh H.Musalman, pada zaman sebelum merdeka lagi iaitu pertengahan abad ke-19, kaum cina telah menetap dibandar yakni di kawasan terbiar dan atas tanah kerajaan yang pada masa itu undang-undang tanah di tanah melayu belum wujud lagi. Mereka datang ke Malaysia dari negara China bertujuan untuk melombong bijih timah. Bagi menyenangkan kehidupan dan pekerjaan mereka, mereka telah membina rumah di tebing-tebing sungai yang berdekatan tempat kerja mereka. Setinggan yang pertama wujud di Kuala Lumpur ialah di tebing sungai Gombak dan Klang. Begitu juga mengenai setinggan kaum India dari negara India yang mana penghijrahan mereka dari negara India adalah untuk membina landasan keretapi yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Klang. Kerajaan British pada masa itu mengabaikan kebajikan kaum India ini, lalu mereka telah membina penempatan berhampiran landasan keretapi. Kaum melayu digalakan berhijrah ke bandar oleh kerajaan bagi mengimbangi komposit kaum dibandar, (Mohd. Razali,1994). Menurut beliau lagi, Kerajaan British telah mengwujudkan kampung baru untuk mengawal ancaman komunis pada tahun 1948 hingga 1960. Terdapat kira-kira 600 perkampungan baru pada ketika itu. Kewujudan setinggan juga telah memberi kesan buruk kepada pandangan fizikal (Abdul Aziz Husin, 2004), tetapi dari segi ekonomi, penduduk setinggan sama-sama memberikan komitmen untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negara.

4.0  JENIS-JENIS SETINGGAN
Abram (1966) dalam Abdul Aziz Husin (2004) telah mengklasifikasikan penduduk setinggan kepada lima kategori utama seperti berikut :
4.1  SETINGGAN PENYEWA

Secara umumnya, setinggan jenis ini terdiri daripada kelas setinggan paling miskin yang mana rumah yang diduduki disewa dari setinggan lain. Majoriti terdiri daripada mereka yang baru berpindah dari luar bandar dengan harapan satu hari nanti akan menjadi ’setinggan pemilik’.


4.2  SETINGGAN PEMILIK
Mereka memiliki rumah yang diduduki tetapi bukan tanah. Rumah didirikan sendiri di atas mana-mana sahaja tanah kosong yang boleh dicari tanpa mengambil kira pemilik tanah atau lokasi tanah tersebut.
4.3  SETINGGAN BERKERAS
Satu waktu dahulu, gologan ini merupakan setinggan penyewa tetapi tidak lagi membayar sewa selepas itu. Pemilik tanah takut untuk mengeluarkan mereka dari tanah tersebut mungkin disebabkan cara dan penampilan mereka yang lebih agresif.
4.4  SETINGGAN TUAN TANAH
Terdiri daripada setinggan lama yang memilikki bilik, pondok atau tempat tinggal untuk disewakan tetapi pada kadar yang sangat tinggi.
4.5  SETINGGAN SPEKULATOR
Mereka dianggap profesional yang membuat penempatan setinggan sebagai perniagaan yang menguntungkan. Mereka menjadi setinggan dengan motif utama dan berkeyakinan bahawa pihak kerajaan atau tuan tanah akan membayar pampasan yang memuaskan sebelum mereka keluar dari kawasan itu. Umumnya, mereka merupakan kumpulan setinggan yang paling degil dan sukar dikeluarkan dan merupakan ketua kumpulan yang akan berhadapan dengan pihak berkuasa atau tuan tanah. Pampasan yang dibayar dalam mana-mana keadaan adalah amat menguntungkan. Selalunya selepas mendapat pampasan, mereka secara bijak akan berpindah ke kawasan lain yang akan dibangunkan dalam masa terdekat dan proses tersebut akan berulang.
4.6  SETINGGAN PEKERJAAN
Setinggan pekerjaan yang membina gerai diatas tanah yang bukan milik mereka dan menjual barang runcit tanpa lesen berniaga dan tanpa membayar cukai.

5.0  FAKTOR KEWUJUDAN PENEMPATAN SETINGGAN
5.1  PENINGKATAN AKTIVITI PERINDUSTRIAN
Pertumbuhan aktiviti perindustrian dalam kawasan bandar seperti cendawan tumbuh selepas hujan ini membuka banyak peluang pekerjaan. Oleh sebab itu, banyak penduduk luar bandar mula berhijrah ke bandar bagi merebut peluang ini. Sebagai akibat, kepadatan penduduk di Bandar bertambah tetapi malangnya kemudahan penempatan tidak mampu menampung bilangan kepadatan ini. Semahunya, mereka hanya membina penempatan setinggan sebagai tempat berlindung.

5.2  KEHADIRAN PATI (PENDATANG ASING TANPA IZIN)
Kebanjiran PATI di Malaysia seperti tidak terkawal. Mereka bebas keluar dan masuk Malaysia walaupun pelbagai usaha daripada pihak kerajaan juga rancak dilaksanakan, mereka masih berani menjejakkan kaki ke sini. Hal ini adalah kerana lambakan peluang pekerjaan sebagai buruh dalam sektor pembinaan. Walaubagaimanapun, lambakan peluang pekerjaan ini juga dibuka oleh rakyat negara ini di mana penduduk negara kita mula memilih sektor pekerjaan yang menjanjikan taraf yang baik. Bukan lagi sektor buruh yang hanya menjajikan pendapat yang rendah tetapi beban kerja yang tinggi. Perbezaan nilai matawang juga merupakan salah satu faktor yang mendorong mereka berhijrah ke dalam negara ini.



5.3  PENDUDUK TEMPATAN YANG BERPENDAPATAN RENDAH
Penempatan haram itu merupakan tumpuan utama bagi penduduk berpendapatan rendah untuk menetap dan bernafas di bandar utama (Majalah Massa, April, 2000). Pertumbuhan kemajuan negara yang meningkat secara dramatik ini menyebabkan taraf hidup penduduk juga meningkat. Bagi sesetengah golongan, kemajuan ini memberi keuntungan dan meningkatkan juga taraf hidup mereka. Tetapi, perlu diingat, ada juga golongan yang tidak mampu bergerak seiring dengan kemajuan negara. Mereka yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin. Oleh sebab itu, mereka tidak mampu untuk memiliki rumah yang dibina oleh pemaju berikutan harga rumah melambung tinggi atas permintaan yang banyak. Mereka semampunya hanya membina rumah di tanah kosong yang sedia ada. Bagi golongan yang berpendapatan rendah ini juga, mereka tidak mampu untuk mendapat pekerjaan yang lebih menjamin pendapatan kerana tahap kelayakan yang rendah. Kedudukan antara tempat kerja dengan penempatan setinggan yang berhampiran memudahkan mereka kerana dapat mengurangkan kos pengangkutan. 

5.4  WUJUDNYA KAWASAN TERBIAR
Wujudnya kawasan-kawasan terbiar hak milik kerajaan yang tiada pantauan menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu sewenang-wenangnya mendirikan penempatan setinggan mereka.

5.5  KURANGNYA RUMAH KOS RENDAH
Kurangnya rumah kos rendah dan peningkatan harga rumah di kawasan-kawasan bandar, juga kadar sewa rumah menyebabkan mereka nekad untuk membina penempatan setinggan yang tidak memerlukan kos yang tinggi dan tiada kadar bayaran sewa setiap bulan yang perlu membebani mereka.

6.0  KESAN KEWUJUDAN SETINGGAN
6.1  MENGANCAM PEMBANGUNAN BANDAR
Penempatan setinggan semestinya mengancam pembangunan dan kemajuan bandar. Tidak kira pembangunan dari sudut fizikal atau pun spiritual. Persekitaran yang tidak sihat mewujudkan perkembangan minda yang tidak matang dan penggunaan tanah secara haram mengganggu aktiviti perancangan bandar dan wilayah secara sempurna.

6.2  MENGANCAM KESIHATAN PENDUDUK
Kewujudan penempatan setinggan juga memberi kesan buruk kepada penduduknya. Sebagai contoh wabak taun atau denggi yang mudah merebak di kawasan mereka akibat daripada tiada infrastruktur bagi mengawal wabak seperti itu. Sikap mereka yang tidak menitik beratkan aspek persekitaran yang sihat juga menyumbang kepada permasalahan ini. Mereka sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata tanpa memikirkan akibatnya ke atas alam sekitar sekaligus menyebabkan penyebaran wabak oleh vektor pembawa penyakit seperti nyamuk dan lalat.



6.3  MEMBERI KESAN KE ATAS KESELAMATAN DAN KESELESAAN
Setinggan juga akan memberi kesan yang buruk apabila berlaku kebakaran kerana kedudukan rumah yang sangat rapat dan tiada penyambungan elektrik yang sempurna. Sudah pasti pembinaan rumah setinggan adalah tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

6.4  POLARISASI ANTARA KAUM TERJEJAS
Secara tidak sedar, kewujudan penempatan setinggan ini menyebabkan polarisasi antara kaum semakin meningkat. Sebagai contoh, penempatan setinggan yang wujud adalah dibina mengikut kelompok kaum. Pengasingan yang wujud ini akan menyebabkan perpaduan antara kaum akan semakin longgar dan akhirnya dapat menjejaskan perkembangan kemajuan negara.

7.0  LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH SETINGGAN
7.1  PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG
Pihak kerajaan telah pun menguatkuasakan undang-undang terhadap penempatan setinggan. Pada awalnya pihak kerajaan hanya merayu supaya penduduk yang berada dalam penempatan setinggan ini supaya keluar dan membina kehidupan baharu. Sekiranya tindakan yang lembut dan mesra ini tidak diambil perhatian, kerajaan mengambil keputusan untuk lebih bertegas dalam melaksanakan undang-undang dengan mengambil tindakan merobohkan kawasan-kawasan setinggan. Tindakan ini bukanlah tidak berperikemanusiaan, tetapi bagi menyedarkan masyarakat supaya tidak melanggar undang-undang yang telah diperuntukkan oleh kerajaan iaitu undang-undang mengikut peruntukan seksyen 425 (1)(a) KTN iaitu tindakan mendakwa penghuni terbabit serta merobohkan penempatan haram mereka. Mengikut kaedah yang dipraktikkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan ini, kawasan setinggan akan dirobohkan tanpa membayar apa-apa pampasan dan membangunkan semula kawasan setinggan dengan lebih teratur dan bersih. Kawasan ini juga diberikan segala kemudahan awam agar tapak tersebut terjaga. Kaedah ini walaupun dilihat dari segi fizikalnya adalah baik namun dari segi ekonominya, ia tidak memberikan pulangan yang baik kepada pihak kerajaan. Malah, kerajaan terpaksa pula mengeluarkan peruntukkan yang banyak untuk membina semula kawasan tersebut semata-mata untuk diduduki oleh setinggan. Kaedah ini juga dilihat seolah-olah menggalakkan setinggan terus bertapak dan dibenarkan meneroka kawasan lain.
MTEN singkatan kepada Majlis Tanah dan Ekonomi Negara telah ditubuhkan kerana kesukaran menempatkan penduduk setinggan ke dalam kawasan penempatan baru. Pertubuhan majlis ini menunjukkan betapa sukarnya usaha dan kerjasama yang cuba diperolehi kerajaan daripada mereka kerana majlis ini ditubuhkan hanya atas satu objektif iaitu membasmi penempatan setinggan secara keseluruhan tidak kira di semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak.

7.2  MENGHANTAR PULANG PATI
Usaha menghantar pulang PATI ke negara asal mereka adalah salah satu langkah bagi kerajaan Malaysia untuk membasmi gejala penempatan setinggan yang mencemarkan imej negara.



7.3  MENGUSAHAKAN TANAH PERSENDIRIAN
Bagi memastikan setinggan sifar, pemilik tanah yang membenarkan pembentukan penempatan setinggan ini supaya mengusahakan tanah mereka kepada usaha pertanian. Kerajaan juga menjanjikan bantuan pinjaman kepada mereka yang menyahut seruan ini.

7.4  PEMBINAAN RUMAH MAMPU MILIK
Menurut United Nations for Human Settlement (HABITAT, 1988) menyatakan bahawa penempatan semula adalah satu langkah pembaharuan fizikal yang menelan perbelanjaan yang tinggi tetapi dapat menyediakan keperluan asas dimanafaatkan oleh penduduk miskin yang terlibat untuk terus hidup dikawasan bandar.
Menurut Tunku Shamsul Bahrin (dalam Mokzani,1977), terdapat dua kaedah dalam menangani isu setinggan. Pertama dengan memindahkan mereka ke atas lot-lot tanah yang diperuntukkan kepada mereka dengan mengenakan kadar harga yang rendah (nominal) dan yang kedua memberi mereka peluang menduduki rumah pangsa kos rendah dengan dikenakan kadar sewa yang rendah atau menjual rumah pangsa tersebut pada harga yang rendah.
Pembinaan rumah ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk di penempatan setinggan, tetapi sebagai salah satu bentuk imbuhan atau pun inisiatif kerajaan supaya tidak membebankan mereka. Usaha ini menunjukkan tanggungjawab pihak kerajaan juga sikap perikemanusiaan dalam menjaga kebajikan dan keharmonian mereka. Kerajaan telah meminta pemaju supaya membina rumah mampu milik supaya dapat menampung keperluan penempatan penduduk setinggan disamping pembinaan rumah pangsa yang telah berjaya sebelum ini. Kawasan perumahan yang dibina ini juga bukan sahaja memberi kemudahan tempat timggal yang selesa, tetapi juga kemudahan infrastruktur seperti sekolah, klinik kesihatan, masjid, kedai runcit dan kemudahan-kemudahan lain turut disediakan. Semua kemudahan ini adalah memastikan mereka tidak terbeban dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa disamping ditambah pula dengan keselesaan persekitaraan yang terjaga.
Sebenarnya, sejak tahun 1998 pihak kerajaan telah melancarkan program perumahan rakyat (PPR) tetapi masih tidak dapat mencapai matlamatsetinggan sehingga ke hari ini. Kaedah yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan ialah dengan membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) dimana konsep yang diperkenalkan berdasarkan disewa. Kerajaan Persekutuan telah menetapkan bahawa hanya penduduk setinggan yang berpendapatan bulanan sekeluarga di bawah RM1500.00 sahaja yang diberikan keutamaan. Jenis rumah yang dibina adalah berbentuk rumah pangsa yang disewakan pada kadar RM124.00 sebulan. Melalui pendekatan ini, masalah setinggan dapat diselesaikan sepenuhnya. Walaubagaimanapun, masalah yang dihadapi oleh Kerajaan Persekutuan ialah tanah kerajaan amat kurang di dalam kawasan bandar. Tapak yang sesuai diperlukan untuk mendirikan rumah-rumah tersebut.

8.0  KESIMPULAN
Bagi memastikan kemajuan Negara tidak terganggu dengan tumbuhnya penempatan setinggan, setiap pihak harus memainkan peranan dengan melaksanakan tanggungjawab bagi memenuhi hak setiap individu dan pasti objektif setinggan sifar berjaya dicapai.
RUJUKAN
1.      H.Musalman, 2007, Kajian Terhadap Tindakan Kerajaan Negeri Johor Dalam Menangani Penempatan Semula Setinggan di Negeri Johor. Tesis.
2.      Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, 2010, Laporan Perangkaan Suku Tahunan, Suku Tahun Pertama 2010.
3.      Majalah Massa (2000). Penempatan Setinggan. Apa Kesudahannya., Penerbitan Utusan Melayu Sdn. Bhd. Bulan April.